Wednesday, September 02, 2009

RM35j bina Sekolah Menengah Pekan Nabalu

TAMPARULI 22 Ogos - Kementerian Pelajaran akan menyegerakan pembinaan sekolah menengah di pekan Nabalu yang terletak berdekatan kaki Gunung Kinabalu dekat sini bagi memenuhi keperluan pelajar di daerah ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah menengah bernilai RM35 juta itu akan dibina dalam waktu terdekat memandangkan daerah itu masih belum mempunyai sekolah menengah.

Katanya, pada masa ini tapak untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dan diterima oleh Bahagian Pembangunan Kementerian Pelajaran.

"Sebelum saya datang ke sini saya telah menemui Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara ini dan beliau mahu saya mencari jalan untuk menyegerakan projek ini.

"Peruntukan sudah tersedia dan saya berharap projek pembinaan Sekolah Menengah Nabalu akan dilaksanakan secepat mungkin iaitu kalau boleh dalam tempoh dua bulan dari sekarang," katanya berucap pada majlis bersama rakyat sempena lawatannya ke tapak sekolah itu di Dewan Pekan Nabalu di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing.

Pada 10 Disember 2007, Datuk Noh Omar yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan membina sekolah di kawasan itu selepas melawat tapak sekolah berkenaan.

Bagaimanapun sehingga kini pembinaan sekolah berkenaan masih belum dimulakan bagi menampung keperluan pelajar daripada 16 sekolah rendah di sekitar kawasan pekan Nabalu.

Menurut Mohd. Puad, apabila siap sekolah itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti asrama pelajar, rumah guru dan padang permainan.

Dalam pada itu beliau berkata, langkah itu menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar dan sentiasa mengutamakan pendidikan di kawasan luar bandar.

Beliau memberitahu, kelewatan pembinaan sekolah berkenaan disebabkan kementerian terpaksa melakukan kajian dan penelitian terperinci bagi memastikan tapak sekolah yang terletak di kawasan berbukit bukau itu betul-betul selamat.

Sementara itu, Bumburing berkata, langkah tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan mendahulukan kepentingan rakyat sesuai dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.