BERLIN - Atlet Jamaica terus mengecewakan Amerika Syarikat pada Kejohanan Olahraga Dunia 2009 yang sedang berlangsung di sini ketika ini.
Selepas menguasai acara pecut, atlet Jamaica kini merampas gelaran acara lari ber pagar daripada atlet-atlet Amerika Syarikat.
Kelmarin, Brigitte Foster- Hylton menjuarai acara 100 meter lari berpagar wanita, sekali gus menghadiahkan pingat emas dunia pertama kepada Jamaica dalam acara tersebut.
Selain emas, Jamaica turut meraih gangsa melalui Dello- reen Ennis-London.
"Kami beraksi dengan baik dan sudah tentu kami gembira dengan kemenangan ini," kata Ennis-London.
Sementara itu, dua atlet lari berpagar terbaik Amerika Syarikat, Ginnie Powell dan Dawn Harper gagal untuk meraih pingat.
Powell sekadar menduduki tempat keenam manakala juara Sukan Olimpik, Harpe di tempat ketujuh.
Terdahulu, Jamaica merampas gelaran acara pecut 100m daripada penguasaan Amerika apabila Usain Bolt meraih emas dengan memecahkan rekod dunia miliknya.
Dalam acara melempar cakera lelaki, atlet Jerman, Robert Harting menggunakan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila meraih emas dengan jarak 69.43 meter.
Dia berjaya menewaskan atlet pilihan dari Poland, Piotr Malachowski (69.15m) dan juara bertahan dari Estonia, Gerd Kanter (66.88m).
Yusuf Saad Kamel pula menghadiahkan pingat pertama buat Bahrain selepas mengungguli acara 1,500m lelaki, mengatasi pelari Habsyah, Deresse Mekonnen yang berada di tempat kedua. - AFP